MGG3701 Menyelamatkan Sang Selamat (Bailing out the bailors) Menteri Kerjaraya, Dato’ Seri
S. Samy Vellu telah menyatakan bahawa kerajaan terpaksa memberikan pampasan
kepada pemegang konsesi lebuh raya sebanyak RM19 bilion untuk selama
20 tahun, lamanya. Ini bukannya kerja yang mudah, katanya. Adalah lebih
baik kalau dicipta satu formula baru agar pemegang konsesi ini mendapat
pinjaman mudah sahaja. Dia tidak mahu membelakangkan kepentingan rakyat dalam
hal ini dan mahu mencipta satu formula agar kedua-dua pihak berada dalam satu
situasi yang sama-sama menang. Dia tidak mahu rakyat marhaen tertekan
membayar sebanyak yang sepatutnya. Di waktu yang sama dia mahu menentukan
agar pemegang konsesi itu akan terus pergi ke bank dengan keadaan yang lebih ceria. Kerajaan
memberikan bayaran kepada mereka kerana tidak menaikkan harga tol. Sebahagian
besar wang pembayaran itu adalah berupa imbuhan kerana mereka gagal memenuhi
kadar jangkaan lalu lintas yang sengaja mereka lebih-lebihkan angkanya dulu. Inilah
yang menjadi masalah yang menyulitkan pihak kerajaan dan orang awam. Pada 1986, Plus Highway (Lebuh raya
Plus) telah mengambil alih urusan Lebuh raya Utara Selatan (North-South
Highway) dan membelanjakan RM6 bilion untuk menaikkan status jalan itu dengan
upahnya berbentuk konsesi selama 30 tahun. Ini bererti tempoh konsesi itu berakhir
pada 2016. Tetapi, rancangan Dato’ Samy itu akan melanjutkan konsesi itu
hingga 2021 pula. Kerajaan memberikan semua
pemegang konsesi lebuh raya kemudahan pinjaman berdasarkan “bayar-balik bila
mampu”, di samping tanah yang luas kawasannya sehinggakan mereka boleh menjualnya
untuk mendapatkan modal untuk memulakan perniagaan membina jalan raya. Tetapi,
kontrak kerja itu sengaja dibebani dengan segala modal itu sehinggakan rakyat
marhaen terpaksa membayar tol yang sentiasa dinaikkan kadarnya. Tambang
keretapi dan bas ke Seremban lebih rendah harganya berbanding harga tol yang
dikenakan ke atas pemandu yang menggunakan keretanya di lebuh raya itu.
Dulu harga tol cuma RM1 kini ia sudah naik sehingga RM6.50. Apakah penyebab
yang wajar menyebabkan harga itu dinaikkan dalam satu dekad? Kalau kerajaan
mempunyai dana secukupnya kenapa tidak dibina sendiri Lebuh raya Sprint untuk kegunaan
mereka yang duduk di Kuala Lumpur ataupun Petaling Jaya menggunakannya untuk
ke Taman Tun Ismail ataupun Damansara Utama ataupun sebaliknya dengan
dikenakan bayaran tol? Lebuh raya itu khabarnya memakan belanja RM 1 bilion. Apa salahnya kalau kerajaan
memberi sagu hati kepada pemegang konsesi dan mengambilalih peranan mereka
dan kemudian batalkan saja bayaran tol? Tidak, perkara semacam ini tidak mungkin
boleh berlaku. Pemegang konsesi tidak boleh meraih keuntungan selagi pengguna
jalan raya tidak meningkat kepada puluhan ribu (kenderaan) setiap hari. Lebuh
raya Utara selatan dapat bertahan kerana kutipan sebanyak RM4 jua yang
dikutip setiap hari di Lebuh raya Persekutuan dan sekitar RM3 juta pada
hujung minggu. Ini bererti, pemegang konsesi membuat keuntungan di setiap
selekoh yang ada. Mula-mula mereka membalun keuntungan dalam kerja-kerja
pembinaan, yang diagihkan kepada anak syarikat yang menyungkit naik harga
projek mereka. Kemudian projek itu diagihkan lagi kepada anak-syarikat yang
lain sambil menyauk keuntungan dalam setiap peralihan itu. Keuntungan yang
paling besar dibalun lagi apabila syarikat utama yang kini sudah pun bertapuk
hutangnya didedahkan kepada pasaran saham. Selepas itu bermulalah satu
lakonan panjang di mana kerajaan akan bertindak simpati
kepada pemegang konsesi dalam rayuan mereka mendapatkan bantuan imbuhan. Inilah lakonan yang
dilakukan selama ini seolah-olah pemegang konsesi itu adalah kaki botol yang sedang mabuk
di rumah-sundal. Adalah tidak memeranjatkan
apabila setiap pemegang konsesi itu mengalami hutang besar yang tidak mampu
dibayarnya. Pampasan daripada kerajaan membolehkan mereka hidup senang-lenang laksana maharajah di
zaman dulu-dulu sehingga mereka mampu bertukar isteri, pesawat udara, istana kediaman di
Switzerland, London dan New York dan segala rupa bentuk kemewahan lagi yang
menunjukkan mereka sudah kaya-raya. Itulah sebabnya Renong-UEM yang dikuasai
oleh kumpulan yang sama, mempunyai hutang berkarat melebihi RM30 bilion.
Namun, pemegang konsesi itu terlalu yakin bahawa mereka akan terlepas
daripada beban hutang itu, tidak lama lagi. Kerajaan memang sedia membantu
menyelamatkan keadaan mereka. Tidak kiralah kalau usaha menyelamatkan itu
adalah satu bebanan kepada rakyat marhaen. Inilah sebabnya saya mempersoalkan
kenyataan Dato’ Samy Vellu yang berkata: “orang ramai tidak semestinya
berfikir bahawa kerajaan tidak memikirkan masalah mereka secara serius.” Sebenarnya
Dato Seri rakyat memang tidak memikirkannya. Apakah sebabnya Tan Sri Halim
Saad diselamatkan? Kenapakah Tan Sri Tajudddin Ramli diselamatkan selepas
beliau mepunahkan MAS? Kenapakah kerajaan tidak membeli balik 29 persen saham
pegangannya di BSKL dan menguasai MAS kembali dengan cara itu? Kelantangan Dato Samy Vellu mengenai pinjaman mudah
itu adalah satu usaha menyediakan minda rakyat marhaen kepada satu lagi
proses penyelamatan. Tentunya dia harus menyediakan satu kenyataan yang
lebih jelas untuk dibentangkan di parlimen mengenai beban yang perlu ditanggung
oleh kerajaan untuk menswastakan lebuh raya. Dia mesti nyatakan berapakah kos
pampasan kepada kadar tol, berapa pula pampasan kepada pemegang konsesi
kerana gagal mendapatkan pengguna yang dijangkakan, berapa pula pinjaman
mudah yang akan terbabit dan apakah asas pemberian pinjaman itu. Daripada
segala pinjaman yang telah diberikan, berapakah jumlah yang telah dibayar
balik? Kita juga harus tahu kenapakah masalah tol ini menjadi isu hangat
politik? Sebenarnya segala cadangan Samy Vellu itu adalah merupakan satu
proses ‘bailout’ ataupun penyelamatan yang menggunakan nama lain pula. -MGG Pillai- 7.2.2001. Catatan penterjemah Saya telah banyak menulis
secara berkias akan kenaikan tol itu sejak siri SLPM. Masalahnya ialah
pengurusan yang menipu rakyat marhaen. Terlalu banyak kebocoran dalam kutipan
tol. Kita kerap diberikan resit perjalanan lain yang menunjukkan kadar bayaran
lebih rendah daripada kutipan sebenarnya. Misalannya kalau kita ke Seremban daripada
Kuala Lumpur, kita kerap diberikan resit berharga RM1.90 menunjukkan harga perjalanan
terdekat ke pintu masuk Seremban itu. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku tanpa
pengetahuan pihak pengurusan? Kenapakah terlalu sangat komputer rosak di
tengah malam? Ini menunjukkan penipuan berterusan di pihak pemegang konsesi.
Malahan kita masih ingat betapa kad ataupun tiket tol itu diimpot daripada
Amerika. Kalau kita masuk tol SPDH
daripada Seremban ke Port Dickson, ada tiga jenis harga tol. Kalau diamati
selalu kita akan dapati lori yang sepatutnya dikenakan harga lebih tinggi, dikenakan
harga kereta biasa. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku selalu? Siapakah yang
kaut wang songlapan yang dilakukan itu? Apakah kerja-kerja songlapan itu merupakan
satu tindakan secara bersindiket? Semua bentuk penipuan ini terus berlanjutan tanpa ada
sesiapa mahu membincangkannya di parlimen. Hanya sekali-sekala
adalah pergerakan parti pembangkang yang berpiket di pintu tol untuk
mengganyang kenaikan harga tol. Tetapi, Mahathir jawab mudah sahaja. “I don’t
care.......!!!!” -MT- |